30 DIS : Johor kembali dilanda banjir hari ini selepas hujan lebat melanda negeri itu, petang tadi sementara banjir di Kelantan dan Terengganu beransur pulih.
Seramai 55 mangsa banjir daripada 15 keluarga di daerah Kota Tinggi ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Sekolah Kebangsaan Gembut.
Paras Sungai Ulu Pontian Besar di Kampung Melayu Bukit Batu, Kulai dilaporkan berada pada paras waspada dengan bacaan 11.49 m.
Sementara itu, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jumlah mangsa banjir di Kelantan seramai 476 orang daripada 135 keluarga.
Kesemua mangsa terlibat ditempatkan di tujuh PPS yang dibuka sejak semalam di daerah Tanah Merah.
Menurut portal infobanjir.water.gov.my Sungai Golok di Rantau Panjang sudah pun melepasi paras bahaya iaitu 9.0 meter (m).
Banjir di Terengganu menurun secara mendadak apabila setakat malam ini hanya 44 mangsa daripada 12 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di daerah Besut berbanding 651 orang pagi tadi.
Paras air di Sungai Telemong di Kuala Ping (F1), Hulu Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dilaporkan sudah melepasi paras amaran.