30 DIS : Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh negara hari ini diserbu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Mengejut Puspakom.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata operasi itu selaras tindakan penguatkuasaan secara berfasa dan dijalankan secara mengejut tanpa makluman awal kepada pihak Puspakom untuk memastikan setiap kenderaan diperiksa di situ mematuhi standard ditetapkan.
“Fasa pertama ialah sekatan jalan raya yang telah dilakukan JPJ di lebuh raya terpilih manakala fasa kedua ialah pemeriksaan secara mengejut di Puspakom seperti kami lakukan hari ini,” katanya selepas operasi di Puspakom Wangsa Maju, hari ini.
Muhammad Kifli berkata hanya dalam tempoh dua jam 115 lori diperiksa dan 69 notis saman dikeluarkan sementara 29 kenderaan diambil tindakan manakala tujuh kenderaan iaitu lima kereta dan dua lori disita.
Katanya, JPJ juga akan memanggil penyelia dan kakitangan Pusapkom yang bertanggungjawab selepas pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat namun lulus dalam pemeriksaan.
Mereka yang terbabit diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ esok untuk disoal siasat serta satu kertas siasatan akan dibuka.
Selain itu katanya, ada juga lori menggunakan tayap celup yang tidak selamat selain sudah uzur.
“Ketua Setiausaha (Kementerian Pengangkutan) MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan) telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman mengesahkan dua kakitangannya dipanggil ke JPJ esok.
“Untuk memastikan integriti pemeriksaan Puspakom, syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terbabit seperti yang diperuntukan di bawah terma dan syarat kontrak pekerjaan, termasuk penggantungan atau pembuangan kerja,” katanya dalam satu kenyataan.