30 DIS : Langkah segera akan diambil bagi memacu pertumbuhan dan merancakkan industri pelancongan di samping menjaga biodiversiti di Langkawi, Kedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menyegerakan beberapa projek termasuk cabang universiti yang akan memberi manfaat kepada rakyat di pulau itu.
“Saya berkesempatan adakan mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) selain turut disertai Pegawai Daerah dan Ketua Polis Daerah Langkawi.
“Insya-ALLAH, langkah segera akan diambil bagi memacu pertumbuhan dan merancakkan industri pelancongan sementara terus menjaga biodiversiti di Langkawi,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.
Pada 26 Disember, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata beliau mengagumi bakat kreatif yang ditonjolkan oleh Dream Forest Langkawi yang mempamerkan keunikan Pulau Langkawi dengan cara yang sangat bekesan.
Beliau berharap lebih banyak inisiatif dilakukan dalam mengetengahkan kisah lagenda tempatan dan sejarah tanah air bagi menarik kkedatangan pelancong ke Malaysia sekali gus memantapkan sektor pelancongan negara.
“Saya berharap lebih banyak inisiatif seperti ini diwujud dan disemarakkan bagi memantapkan sektor pelancongan negara, di samping menghidupkan minat terhadap legenda dan sejarah tanah air.
“Langkawi bukan sahaja sebuah pulau yang indah tetapi ia penuh dengan kisah dan warisan yang harus ditelaah dan dikaji generasi kini dan akan datang,” katanya.