30 DIS : Angka mangsa yang terjejas banjir gelombang ketiga di Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan setakat pagi tadi.
Seramai 1,447 orang dari 415 keluarga kini dilaporkan berlindung di 30 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kedua-dua negeri.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 14 PPS dibuka sejak semalam di tiga daerah iaitu Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang sementara 1 PPS baru diaktifkan hari ini melibatkan daerah Pasir Mas.
Seramai 853 mangsa daripada 251 keluarga berlindung di 15 PPS itu.
Sementara itu di Terengganu, dua daerah yang terjejas banjir melibatkan kawasan Hulu Terengganu dan Besut.
Banjir semakin teruk dan angka mangsa terjejas juga meningkat apabila 15 PPS yang dibuka sejak semalam kini menempatkan 599 mangsa daripada 165 keluarga.
Banjir gelombang ketiga yang melanda dua negeri ini diburukkan lagi dengan dua kejadian tanah runtuh dan dua jalan utama terputus di jajahan Machang.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub dilaporkan berkata dua jalan yang terputus ialah jalan Persekutuan di FT 479 Jalan Kemuning-Bukit Belah dan jalan Negeri D16 Jalan Batu 30-Temangan akibat dinaiki air.
Katanya, semua kenderaan tidak dibenar melalui jalan tersebut susulan ditenggelami kedalaman air kira-kira 0.8 meter.
Tanah runtuh berlaku di jalan masuk ke stesen VHF Bukit Bakar dan FT 008 jalan Kota Bharu-Gua Musang berdekatan dengan Dataran Bukit Belah.
Menurut Nik Soh, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dan melayari laman web https://bencana.jkr.gov.my/ bagi mengetahui maklumat lanjut penutupan jaln dan tanah runtuh di kawasan terlibat.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran merekodkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang sudah melepasi paras bahaya iaitu 9.11 meter (bahaya 9.0 meter).
Dua sungai di Tanah Merah pula berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob pada paras 23.16 meter (amaran 22.5 meter) dan Sungai Sokor pada paras 22.49 meter (amaran 21.0 meter).
Sementara itu hanya stesen Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) daerah Hulu Terengganu merekodkan tahap bahaya iaitu 20.89 meter.
Sungai lain berada pada parasa amaran iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman; Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1), Kuala Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu.