30 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penghormatannya kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter yang meninggal dunia pada usia 100 tahun, semalam.
“Saya menyertai rakan-rakan pemimpin bersedih atas kehilangan bekas Presiden AS, Jimmy Carter dan meraikan perkhidmatan beliau yang luar biasa terhadap kemanusiaan dan negaranya.
“Pada pandangan saya, apa yang paling menyerlah ialah mengenai kesediaan beliau menentang pemikiran konvensional elitis politik Amerika mengenai perkara yang paling penting dalam peperangan dan keamanan, sama ada ia mengenai dialog dengan Cuba, memperjuangkan penghapusan senjata nuklear di Semenanjung Korea, atau mengecam pencerobohan Iraq pada 2003,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Selain itu, Anwar percaya tiada siapa yang akan menidakkan keberanian Presiden AS ke-39 itu iaitu meletakkan prinsip lebih daripada politik dalam isu Palestin.
Malah kata Anwar, dedikasi Carter melawan pandangan politik Amerika dengan melabelkan perbuatan Israel di Palestin sebagai apartheid sebelum disuarakan orang lain.
“Beliau menahan kritikan daripada lobi pro-Israel dengan dedikasinya memperjuangkan penyelesaian dua negara. Hingga ke akhirnya, beliau tetap teguh, tidak menyerah kalah, demi keamanan dan keadilan.
“Masyarakat Amerika sering menyatakan bahawa mereka tidak menghasilkannya seperti sebelum ini’. Perkara ini tepat sekali jika bercakap mengenai Carter,” katanya.
*Foto: Getty Images