30 DIS : Sarawak tidak terdesak hingga mahu menjadikan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) sebagai industri utama.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata aktiviti perlombongan boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar, sekali gus bertentangan dengan matlamat kerajaan negeri yang menekankan agenda ekonomi hijau.
Katanya, meski Sarawak tersenarai sebagai salah satu daripada 10 negeri yang berpotensi memiliki hasil REE yang tinggi namun katanya negeri itu tidak terdesak sehingga perlu melombong REE.
“Kita tidak terdesak untuk menjalankan aktiviti perlombongan REE. Saya rasa kajian yang mendalam perlu dilakukan terlebih dahulu kerana perlombongan ini boleh memberi impak buruk kepada alam sekitar. Kita perlu memberi fokus kepada aktiviti ekonomi yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Yayasan Buah Pinggang, Perubatan dan Komuniti Che Hia Khor Moral Uplifting Society Sarawak antara (CHKMUS), hari ini.
Terdahulu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menyenaraikan Sarawak antara 10 negeri yang dikenal pasti berpotensi miliki REE dengan jangkaan nilaian sebanyak RM809.6 bilion selain Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.
Terengganu merekodkan kawasan berpotensi paling luas, iaitu 575,000 hektar, diikuti Kelantan (205,000), Perak (135,000), Pahang (100,000), Kedah (90,000), Johor (45,000) dan 10,000 hektar di Melaka.