31 DIS : Semua pihak perlu menghormati bidang kuasa negeri dalam melaksanakan hukuman syariah.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata hukuman sebat syariah bagi kes khalwat di negara ini untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada pesalah serta masyarakat.
“IKIM menyeru semua pihak untuk memahami isu ini dengan matang dan berhikmah. Sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham atau ketegangan perlu dielakkan demi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
“IKIM menegaskan bahawa hukuman sebatan ke atas kes khalwat yang dijalankan bukanlah sebahagian daripada hukum hudud seperti yang sering disalah tafsir sesetengah pihak.
“Hukuman tersebut tergolong dalam kategori ta’zir iaitu hukuman yang ditentukan oleh pihak berkuasa berdasarkan ijtihad dan budi bicara selaras dengan maqasid syariah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 27 Disember lalu, pesalah khalwat berulang menjalani hukuman enam sebatan yang disaksikan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Hukuman sebatan syariah itu menjadikan tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 sebagai individu pertama di Terengganu menjalani hukuman sebat di khalayak ramai kerana kesalahan tersebut.
Dalam pada itu, Mohamed Azam berkata pihaknya mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan untuk memperkukuh pelaksanaan hukuman tersebut.
“Laksanakan program pemulihan holistik…pesalah dapat menyertai program bimbingan rohani, kaunseling intensif dan latihan kemahiran sebagai sebahagian daripada hukuman.
“Tumpu tingkat kefahaman masyarakat agar memahami matlamat sebenar hukuman syariah melalui kempen kesedaran dan foum terbuka.
“Perkukuh kerjasama antara JKSM, Jabatan Penjara dan agensi-agensi berkaitan untuk menyeragamkan pelaksanaan dan garis panduan,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar persidangan meja bulat secara tertutup diadakan dengan menjemput pakar-pakar perundangan sivil dan syariah serta pihak berkepentingan untuk menambah baik pelaksanaan hukuman itu serta menyeragamkan garis panduan.
Katanya lagi, bagi mengelakkan salah faham terhadap konsep dan pelaksanaan undang-undang syariah di negara ini, perlu diberi penekanan terhadap pendidikan dan penerangan kepada masyarakat.
Sebelum ini, hukuman sebat yang pertama kali itu disorot pelbagai pihak malah ada yang mempertikai keputusan tersebut.