31 DIS : Usia Kerajaan MADANI yang baru menginjak dua tahun pastinya penuh cabaran namun pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya melakar kejayaan signifikan termasuk berhasil merapatkan jurang pembangunan di bandar dan di luar bandar,
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penambahbaikan kemudahan asas dan penyediaan peluang ekonomi yang lebih luas menjadi teras kepada usaha kerajaan merapatkan jurang itu.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, saya amat berbangga dengan usaha kolektif yang banyak memberikan kesan positif kepada kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan juga terus komited untuk memastikan keselamatan rakyat khususnya dalam menghadapi bencana seperti banjir menerusi peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi lain. Keutamaan kami sentiasa tertumpu kepada pengurangan risiko kehilangan nyawa dan harta benda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, hari ini sempena sambutan Tahun Baharu 2025.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid berkata pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekosistem halal juga lebih komprehensif.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata mentadbir kerajaan yang baru mencecah usia 2 tahun itu bukan kerja yang mudah.
“Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mencecah usia 2 tahun. Saya akui bahawa perjalanan kami mengemudi kerajaan bukanlah satu hal yang mudah dan perjalanan ini masih panjang. Kami akan terus berusaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia. Banyak dan besar lagi tanggungjawab kita di hadapan, antaranya peranan kita sebagai tuan rumah bagi Kepengerusian ASEAN 2025. Namun, itulah tujuan kita diamanatkan sebagai khalifah di muka bumi ini – untuk terus berjasa dan berbakti.
“Insya-ALLAH, kita akan terus menginjak ke tahun 2025 dengan semangat dan kebersamaan yang lebih kuat lagi serta merangkul lebih banyak pencapaian demi Malaysia tercinta.