31 DIS : Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peranan tersebut merupakan tugas besar Malaysia dengan mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Katanya, landskap global yang semakin kompleks menuntut ASEAN melakar peranan baharu untuk memastikan rantau ini terus relevan dan makmur.
“Yakni membawa seluruh kekuatan yang ada, seluruh pasukan yang ada sebagai satu kesatuan dan menjamin supaya pembangunan ini terus mampan dan mengambil kira mengurangkan jurang perbedaan dan menangani permasalahan yang dihadapi oleh kelompok yang tersisih atau miskin atau terpinggir.
“Jadi inilah maksud kita supaya ASEAN menikmati dan berkongsi limpahan kemakmuran secara adil tanpa ada kelompok atau wilayah yang disisihkan,” katanya dalam Ucapan Amanat Tahun Baharu menerusi siaran langsung di media sosial, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua pihak perlu mengamalkan prinsip ‘striving for excellence’, iaitu berusaha untuk menjadi cemerlang bagi mencapai matlamat tersebut.
Jelasnya, negara akan memperolehi penghormatan sebagai satu negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab sekiranya perpaduan di dalam negara diperkukuh.
“Maknanya berusaha mencari jalan dan kaedah supaya mencatat kecemerlangan, mengukuh perpaduan di dalam negara kita dahulu, sebab sebelum kita tatakelola mesti dimantapkan, ketirisan dan rasuah mesti dibanteras,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan cabaran seperti konflik di Gaza dan isu penindasan global memerlukan tindakan serantau yang lebih tersusun.
“Inilah penghormatan yang besar untuk negara dan peluang untuk membina lembaran baru dalam agenda serantau dan global yang terus mencabar.
“Selain beberapa isu pokok seperti pembantaian, kezaliman, penindasan, penjajahan di Gaza dan beberapa kawasan yang mencabar,” katanya.