31 DIS : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo memadam kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di semua platform media sosialnya.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong, membenarkan permohonan Razarudin untuk mendapatkan perintah injunksi ex-parte atau satu pihak bagi menghalang Papagomo mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah berkaitan dirinya.
Razarudin, selaku plaintif memfailkan kes saman terhadap defendan,Papagomo pada 26 Disember berhubung kenyataan blogger itu yang melabelkan dirinya sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Techiong membenarkan permohonan injuksi itu selepas mendapati Razarudin menunjukkan wujudnya isu yang serius dan perlu dibicarakan.
“Injunksi terhadap defendan wajar dikeluarkan oleh mahkamah ini dengan segera untuk melarang dan menghalang defendan sebagaimana dipohon oleh plaintif.
“Maka mahkamah memerintahkan injuksi sebagaimana permohonan plaintif dibenarkan sehingga perintah lanjut mahkamah ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengeluarkan perintah injunksi ex-parte yang melarang dan menghalang Papagomo daripada menerbitkan atau mengakibatkan penerbitan semula kenyataan.
Ia termasuk video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi iaitu secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian, di platfom media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan Whatsapp.
“Defendan juga diarah memadam, menarik balik serta menurunkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lalu yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif,” katanya.
Mahkamah menetapkan 10 Januari ini bagi permohonan pendengaran injunksi secara dua belah pihak.
Terdahulu, Raam Kumar selaku peguam Razarudin dilapor memaklumkan notis tuntutan saman itu sudah diserah kepada Papagomo pada 26 Disember.
Menerusi notis itu, plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas.
Pada 19 Disember, Papagomo direkod keterangan bagi siasatan lanjut berkaitan hantaran video berbaur fitnah dan mengaibkan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara pada 15 Disember.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.