31 DIS : Tayar lori tercabut terbabit nahas meragut tujuh nyawa di Ayer Keroh, Melaka, 23 Disember lalu mungkin disebabkan kerosakan hujung ‘stub axle’ yang terputus pada gandar hadapan.
Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) berkata dapatan itu diperoleh selepas menjalankan pemeriksaan terhadap lori jenama Foton yang terbabit nahas itu.
Difahamkan lori itu diperbuat pada 2023 dan menjalani Pemeriksaan Awalan di PUSPAKOM 28 Mac lalu di mana pemeriksaan akan datang dijadualkan pada 28 Mac 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata penemuan itu menjadi peringatan penting kepada semua pemilik kenderaan perdagangan agar memastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan mengikut jadual ditetapkan.
“Penyelenggaraan secara berkala bukan sahaja penting untuk keselamatan pemandu tetapi juga bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“PUSPAKOM komited untuk meneliti dan memperketatkan tatacara operasi kami bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa memenuhi piawaian keselamatan yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada nahas itu, tujuh nyawa terkorban sementara 33 lagi cedera membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.