1 JAN : Umat Islam wajib menyokong pengiktirafan Palestin sebagai negara merdeka dan berdaulat.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Nooh Gadot berkata ia selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak asasi manusia.
Beliau berkata umat Islam juga wajib menyokong dan membela rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan negara mereka daripada penjajahan rejim zionis.
Katanya,perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKI pada 24 hingga 26 Sepetember lepas yang membincangkan perihal kewajiban membela dan mempertahankan rakyat dan Palestin daripada pencerobohan Israel.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menyembah maklum pandangan hukum berkenaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI.
“Muzakarah yakin dan berpuas hati dengan hujah-hujah serta fakta-fakta yang telah dikemukakan oleh penyelidik dan berpandangan umat Islam hendaklah bersatu dalam mempertahankan dan membebaskan Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Nooh berkata Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.
Selain itu, katanya perbuatan memboikot merupakan syariat dalam Islam terutama demi mempertahankan maqasid syariah, selain ianya menjadi tuntutan jihad terutamanya dari segi harta.
Jelas beliau, matlamat boikot bertujuan menekan syarikat-syarikat agar menukar polisi, visi, misi dan strategi berkenaan Palestin serta memberhentikan kezaliman rejim.
Katanya, ia juga berdasarkan maksud umum jihad fi sabilillah dalam menegakkan syiar agama Islam dan dakwah Islamiah.
“Boikot hendaklah dilaksanakan secara beriman, bijak, berilmu, berhikmah, beretika dan tidak bertindak secara ekstrem, melulu, melampau serta keterlaluan.
“Boikot merupakan jihad bagi meninggikan kalimah ALLAH, menjamin kedudukan agama Islam, mengembangkan dakwah dan mempertahankan pendukung-pendukung agar hak-hak umat Islam tidak ditundukkan.
“Dalam melaksanakan boikot, sikap tabayyun iaitu pencerahan, penerangan dan penjelasan hak serta batil mengikut fakta sebenar adalah amat diperlukan bagi memastikan syarikat atau produk yang ingin diboikot benar-benar ada penglibatan dengan zionis Israel,” katanya.