2 JAN : Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 3.00 peratus sepanjang tahun ini.
Menurut Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik (KSI), tindakan BNM mengekalkan OPR dilihat berbeza berbanding cara bank pusat serantau lain yang cenderung menurunkan kadar faedah.
KSI berkata BNM mempunyai ruang yang terhad bagi merendahkan kadar dasar itu disebabkan jangkaan penyesuaian tekanan harga domestik.
Jelasnya,ia melibatkan kenaikan gaji minimum, rasionalisasi subsidi bahan api RON95 dan pengembangan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Berdasarkan panduan BNM daripada mesyuarat November, jawatankuasa menjangkakan inflasi pada 2025 akan kekal terkawal.
“Namun, risiko kenaikan kadar hanya akan berlaku jika kesan inflasi pusingan kedua menjadi lebih kuat daripada yang dijangkakan, senario yang dianggap berkemungkinan rendah,” katanya, menerusi Laporan Ekonomi Akhir Tahun 2024.
Menurut laporan itu, Malaysia dijangka berdepan dengan peningkatan inflasi domestik pada tahun ini,
dengan kadar inflasi diunjur purata sekitar 2.7 hingga 3.0 peratus berbanding sasaran kerajaan iaitu 2.0 hingga 3.5 peratus.
Jelas KSI, unjuran inflasi mencerminkan potensi tekanan kenaikan yang didorong oleh
inisiatif Bajet 2025 seperti kenaikan gaji minimum, pengenalan levi berperingkat untuk pekerja asing serta pelarasan caruman KWSP.
Selain itu, KSI menyatakan rasionalisasi subsidi RON95 dan pengembangan SST dijangka turut memberi kesan kepada unjuran inflasi negara.
Mengulas mengenai rasionalisasi subsidi RON95, KSI berkata impak susulan daripada perlaksanaanya adalah terhad.
Katanya,ia kerana penarikan subsidi yang menyasarkan segmen populasi tertentu dan pemberat bahan api dan peralatan pelincir dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) adalah kecil.
Bagaimanapun, katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan 85 peratus peratus penduduk akan terus mendapat manfaat daripada subsidi dan ia tidak termasuk bagi golongan T15.
Dalam pada itu, KSI menjangkakan pengunjuran pertumbuhan ekonomi sederhana pada tahun ini kepada 4.9 peratus berbanding sasaran rasmi 4.5 hingga 5.5 peratus.
“Laporan ini mengambil kira tindak balas daripada dasar domestik yang sedang dilaksanakan dan cabaran luaran yang semakin meningkat apabila ekonomi global bersiap sedia menghadapi dasar Donald Trump 2.0.
“Ekonomi Malaysia mendapat manfaat daripada dasar perlindungan Trump sebelum ini, tetapi sebagai ekonomi terbuka, ancaman tarif Trump kali ini boleh memberi kesan kepada ekonomi tempatan sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
KSI berkata permintaan domestik akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Penggunaan swasta akan disokong oleh pasaran buruh yang stabil, kenaikan gaji sektor awam antara tujuh hingga 15 peratus, semakan gaji minimum dan fleksibiliti pengeluaran Akaun 3 KWSP.
“Pelaburan swasta pula akan mendapat manfaat daripada limpahan pelaburan yang sedang dilaksanakan dan persekitaran pembiayaan yang menggalakkan,” katanya.