2 JAN : Ibu bapa berhak melanjutkan aduan buli ke peringkat lebih tinggi jika merasakan tidak mendapat keadilan sewajarnya dalam konteks siasatan dan aduan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pihak sekolah dan pengetua tidak wajar mempersoalkan tindakan ibu bapa yang membuat aduan berkenaan hal itu.
Katanya, selain melaporkan kepada polis dan sekolah, aduan buli boleh disalurkan ibu bapa menerusi portal Aduan Buli yang disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kenapa perlu persoalkan? Itu hak ibu bapa kalau merasakan bahawa anak mereka tidak mendapat keadilan dalam konteks siasatan dan aduan.
“Kita mohon untuk aduan ini dibuat di bawah portal ini yang mana ia lebih jelas kerana KPM akan maklumkan terus kepada pengadu apa tindakan-tindakan yang telah kita ambil,” katanya pada sidang media khas SPM 2024, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina turut mengingatkan pihak pengurusan sekolah khususnya pengetua, guru besar dan guru-guru pentadbir supaya tidak merahsiakan sebarang kes buli membabitkan pelajar di sekolah.
Tegas beliau, KPM tidak akan berkompromi berkenaan isu itu selain berkata semua prosedur pengendalian kes perlu diselesaikan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Kita minta untuk diselesaikan mengikut garis panduan pengendalian kes buli yang telah pun kita (KPM) keluarkan dan juga melibatkan maknanya proses keseluruhan melibatkan keadilan kepada pihak-pihak kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berkenaan kes buli yang berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur yang didakwa membabitkan pelajar yang dibuli ala komando.
Fadhlina berkata pihaknya sudah menerima aduan berhubung perkara itu dan ia masih di peringkat siasatan.
Terdahulu, media melaporkan pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh didakwa membuli pelajar junior dengan mengenakan denda keterlaluan seperti diarah melakukan aksi commando rest selama dua jam dan dipaksa bogel beramai-ramai.
Seorang jurulatih di sekolah ‘ala tentera’ itu juga didakwa pernah memaksa pelajar merendam kaki ke dalam baldi berisi air panas menggelegak sejurus selepas selesai latihan sehingga meninggalkan luka lecur tahap dua.