2 JAN : Sistem baharu di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menggunakan kod respon pantas (QR) tidak menjejaskan keselamatan negara.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkata kemasukan pelawat disaring dengan pelbagai prosedur dan langkah keselamatan yang dibangunkan.
Menurut JIM, warga asing hanya boleh menggunakan kemudahan itu sekiranya mereka bebas daripada senarai syak dan senarai hitam.
Semua warga asing juga perlu mengisi Kad Digital Ketibaan Malaysia (MDAC) kecuali warga Singapura.
“Maklumat kemasukan warga asing juga perlu dipadankan dengan data biometrik dan pengecaman wajah yang terkandung dalam cip pasport.
“Kegagalan mereka melepasi syarat ini akan menyebabkan mereka tidak dapat melalui autogate, seterusnya akan dirujuk kepada pegawai imigresen untuk urusan seterusnya,” katanya.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan sistem baharu itu di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 dan 2 untuk warga dari 63 negara yang dikenal pasti dan warga Malaysia.
Melalui sistem baharu itu, tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.
Menurut JIM, sejak pengecualian visa diperkenalkan pada 2023 pihaknya memantau kemasukan warga asing yang menggunakan pintu automatik serta menjalankan langkah kawalan dan penguatkuasaan.
Ini termasuk penubuhan pasukan khas pemantau pergerakan keluar pelawat China dan India, aktiviti naziran di kawasan tumpuan warga asing serta prosedur ketat berhubung pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL).
“Proses kemasukan juga masih mengekalkan semakan keselamatan yang pelawat perlu mengemukakan tiket pulang dan bukti penginapan seperti butiran tempahan hotel yang sah,” katanya.
Bagi menjamin kelancaran, pintu automatik itu akan dibahagi kepada dua laluan iaitu laluan warganegara dan bukan warganegara, kata JIM.