2 JAN : Kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan simpati atas pemergian Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-39, James Earl Carter Jr. atau Jimmy Carter pada 29 Disember lalu.
Kementerian Luar atau juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata mendiang Carter merupakan seorang negarawan yang banyak menyumbang kepada usaha-usaha kemanusiaan dan memberi impak kepada kesejahteraan sejagat.
“Malaysia juga berharap agar keluarga mendiang diberikan kekuatan dan ketabahan atas kehilangan ini,” kata Wisma Putra dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan beliau menandatangani nota takziah di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, pagi tadi.
“Pagi tadi ke Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur disambut Chargé d’Affaires (CDA), Manu Bhalla bagi menandatangani nota takziah atas Jimmy Carter, Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-39 yang meninggal dunia pada 29 Disember 2024 yang lalu,” katanya melalui satu hantaran ringkas di Facebook.
Mendiang Carter merupakan penerima Hadiah Nobel Keamanan 2002 dan dilaporkan meninggal dunia pada usia 100 tahun di kediamannya di Plains, Georgia.