2 JAN : Kementerian Pengangkutan (MOT) meneliti dakwaan wujudnya sindiket yang meluluskan kenderaan tidak selamat atau tidak patuh standard seperti ditetapkan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata siasatan dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Memang kita akan bekerjasama dengan SPRM untuk kenal pasti isu-isu integriti dalam Puspakom dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas.
“Kita bukan sahaja mahu mengenalpasti kes terpencil tetapi yang lebih penting (sekiranya) ada sindiket-sindiket yang tawar perkhidmatan tidak sah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pejabat JPJ Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, dua kakitangan Puspakom dipanggil ke JPJ untuk memberi keterangan susulan serbuan serentak terhadap semua pusat itu, baru-baru ini.
Dalam serbuan di cawangan Puspakom Wangsa Maju mendapati ada kenderaan yang tidak lepas standard lulus pemeriksaan.
Mengulas lanjut, Anthony berkata pihaknya juga menjalankan siasatan terhadap dakwaan wujud orang tengah yang menawarkan perkhidmatan sewaan komponen kenderaan supaya lulus pemeriksaan.
“Memang kita tahu bahawa dalam pasaran ramai yang cakap ada ‘runner’, kartel dan sebagainya supaya kenderaan yang tak lulus pun boleh diluluskan.
“Jadi kes ini memang kita teruskan siasatan dan sedang bekerjasama rapat dengan SPRM,” katanya.
Kata Anthony, isu perkhidmatan sewaan tayar kenderaan berat di negara ini juga perlu diatasi segera susulan terdapat kelompongan dari sudut undang-undang
“Memang kita tahu perkara ini, ada kelompongan undang-undang dimana apabila seseorang tukar tayar dia pergi Puspakom dia lulus lah.
“Ini sama kes dahulu dalam kes cermin gelap, orang pakai cermin gelap tidak lulus (pemeriksaan) masuk Puspakom jadi dia pergi kedai aksesori tukar cermin biasa kemudian bila lulus keluar balik dia tukar balik cermin gelap.
“Memang ada kelompongan undang-undang cermin gelap, tetapi kita telah tukar peraturan dengan kita benarkan cermin gelap di bahagian belakang,” katanya.