2 JAN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan tiga individu termasuk dua lelaki warga asing dipercayai menyebar risalah agama Kristian secara terbuka di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata pihaknya menerima laporan daripada individu yang juga perakam kejadian itu pada 30 Disember lalu.
Katanya, laporan itu dibuat pada pukul 10.19 malam selepas tular satu video di media sosial memaparkan tiga individu terbabit yang didakwa menyebar risalah tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau kebencian atas alasan agama.
“Usaha mengesan ketiga-tiga mereka sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini sehingga siasatan selesai.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi 54 saat yang memaparkan 3 individu termasuk warga asing berkulit putih dirakam sedang menyebarkan risalah kepada orang ramai di hadapan sebuah pasaraya di Desa Setapak.
Dalam video tersebut, tiga individu yang sedang menyebarkan risalah itu ditegur perakam dengan menyatakan perbuatan berkenaan adalah salah.