2 JAN : Henti sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memberi peringatan itu susulan cubaan menyebar agama Kristian secara terbuka di tempat awam yang tular sebelum ini.
Katanya, tindakan itu boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Merujuk kepada video tular beberapa individu yang cuba menyebar agama Kristian di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak, saya minta semua pihak supaya menghormati serta akur kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara keharmonian dalam negara.
“Apa-apa tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara perlu dihentikan kerana ia boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam,” katanya satu kenyataan, hari ini.
Mohd Na’im meminta semua pihak bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara terperinci berkait perkara itu.
“Sekiranya terbukti mana-mana pihak melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi 54 saat yang memaparkan 3 individu termasuk warga asing berkulit putih dirakam sedang menyebarkan risalah kepada orang ramai di hadapan sebuah pasaraya di Desa Setapak.
Dalam video tersebut, tiga individu yang sedang menyebarkan risalah itu ditegur perakam dengan menyatakan perbuatan berkenaan adalah salah.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang mengesan tiga individu termasuk dua lelaki warga asing dipercayai menyebar risalah agama Kristian itu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata pihaknya menerima laporan daripada individu yang juga perakam kejadian itu pada 30 Disember lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.