2 JAN : Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menggesa semua pihak supaya mematuhi larangan penggunaan sebarang ungkapan, atau petunjuk berunsur antiminyak sawit dalam urusan perdagangan dan perniagaan di negara ini.
Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata sebarang aktiviti penampalan Pelabelan Produk Bersifat Diskriminasi Terhadap Minyak Sawit atau Discriminatory Labelling Against Palm Oil (DLAPO) tidak akan diterima lagi oleh KPDN dan tindakan tegas akan dikenakan mengikut peraturan semasa.
Katanya, mana-mana individu yang melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun.
“Masih terdapat premis di negara ini yang menjual produk-produk yang menggunakan label bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit (DLPO).
“Ungkapan atau petunjuk yang berunsur antiminyak sawit adalah dilarang dipakai dalam perdagangan atau perniagaan berdasarkan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit ) 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) yang berkuat kuasa pada 15 Mac 2922.
“1,024 hari telah berlalu sejak peraturan tersebut mula diperkenalkan. Ribuan pemeriksaan dijalankan oleh KPDN seluruh negara bermula 15 Mac 2022 dan mendapati terdapat premis yang masih menjual produk-produk berlabel DLAPO,” katanya pada Seminar Kesedaran Pelabelan DLPO di ibu negara, hari ini.
Azman berkata tempoh dua tahun yang diberikan kerajaan sudah memadai bagi pihak terlibat mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu itu.
Katanya, tindakan seperti mengeluarkan secara sukarela produk-produk DLPO dari rak-rak penjualan perlu dilakukan oleh pihak terlibat.
Sehubungan itu, KPK menyeru rakyat Malaysia agar lebih peka apabila membeli barangan di pasaran.