2 JAN : Gagasan Malaysia MADANI dibawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendapat sokongan para ulama tersohor serta ilmuwan dunia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkongsi perkara itu melalui satu hantaran di Facebook, lewat malam tadi.
“Ada yang bertanya pandangan saya mengenai tuduhan MADANI ‘Jahiliyah‘? Saya berpandangan lebih baik masa dan tenaga difokuskan kepada perkara yang lebih produktif untuk pembangunan dan pembinaan negara.
“Para ulama tersohor dan terkemuka dunia mengiktiraf gagasan ini. Malahan ilmuwan dan intelektual dunia juga menyatakan sokongan dan optimis dengan gagasan MADANI,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan ketidakhadiran Anwar pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir sebagai bukti konsep MADANI yang dibawa perdana menteri dan pentadbirannya itu tidak tulen.
Ahli Parlimen Marang itu berkata perjuangan Anwar bergantung kepada MADANI Jahiliah seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock.
Sementara itu Zulkifli berkata gagasan Malaysia MADANI sudah diberikan pencerahan sebaiknya dalam ‘the Asian Renaissance’, ‘SCRIPT For a Better Malaysia’ dan ‘Membangun Negara Madani’.
Menurut Zulkifli lagi, beliau menyaksikan sendiri pujian pimipinan komuniti dan cendekiawan terhadap konsep MADANI itu ketika di United Kingdom.
“Semasa ke United Kingdom pada Ogos lalu, saya sendiri menyaksikan pujian dan harapan pimpinan komuniti dan cendekiawan terhadap idea Madani Perdana Menteri, Datuk Seri AnwarIbrahim (PMX), yang digagaskan daripada perjalanan panjang penglibatan beliau dalam bidang aktivisme dan intelektualisme, sedari usia belianya.
“Sebenarnya, saya sangat tertarik dengan artikel dalam ‘The Japan Times’ berjudul ‘The ASEAN’s Second Renaissance is Now’. Walaupun makalahnya ringkas tetapi Perdana Menteri dengan penuh ‘eloquent and elegant’ menulis dan mengupas mengenai masa depan dan visi Komuniti ASEAN,” katanya.