3 JAN : Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran haji kepada bakal jemaah haji musim 1446H/2025 sehingga 15 Januari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata selepas 15 Januari ini, Tabung Haji akan memulakan proses rayuan.
“Kalau tidak terima sampai 15 Januari ini (maka) tak adalah (tawaran). Yang telah menerima (surat) tawaran haji itu maknanya mereka dah pergi pemeriksaan (kesihatan).
“Kemudian kita akan mulakan proses rayuan selepas 15 Januari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ketiga Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH), hari ini.
Menurutnya, TH menerima kira-kira 60,000 rayuan untuk menunaikan ibadah haji sejak dibuka 19 Disember lalu.
Beliau menjangkakan tidak ramai akan menolak tawaran haji sama seperti tahun lalu meski berlaku peningkatan kos.
“Tak ramai yang tolak sebab kos (meningkat). Saya sebut sini macam tahun lepas kira-kira 9,000 lebih, semua diterima dan bersetuju untuk bayar penuh.
“Saya ingat hal peningkatan (kos) yang tinggi itu bukannya isu,” katannya.
Bayaran haji bakal jemaah Muassasah kumpulan B40 tahun ini ditetapkan pada RM15,000 seorang, M40 pada RM23,500 dan T20 perlu membayar penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang.
Malaysia menerima kuota haji seramai 31,600 orang bagi tahun ini.
Dalam pada itu, Mohd Na’im mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan pakej haji dan umrah yang ditawarkan individu atau syarikat pelancongan tidak berlesen.
Tegasnya, kerajaan memandang serius isu penipuan pakej haji dan pihaknya sentiasa menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam menangani perkara itu.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa individu atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan dan lesen daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995.
“Justeru, suka saya mengingatkan semua bakal haji untuk memastikan pakej haji ingin diambil adalah daripada 37 Pengelola Jemaah Haji telah dilesenkan oleh TH termasuk bakal haji yang mendapat visa Furada dan Mujamalah agar pemantauan dapat dilakukan bagi memastikan semua jemaah haji Malaysia mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya.
Terdahulu, Mohd Na’im menyampaikan sijil penyertaan kepada 37 syarikat pengelola jemaah haji (PJH) yang dilesenkan.