3 JAN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai mana-mana perhimpunan yang dianjurkan pihak tertentu bagi menuntut pengampunan diraja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ia bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam urusan pengampunan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, hari ini.
Selain itu, ia juga bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam kerana permohonan hanya boleh dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan bukan dengan turun ke jalanan.
“Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan jelas memandu semua pihak yang berhasrat untuk mendapatkan pengampunan perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran yang tidak mengikut undang-undang.
Demi menghormati titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan menjaga keselamatan serta ketenteraman awam, PDRM menggesa supaya orang ramai tidak menyertai apa juga perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Razarudin menggesar agar semua rakyat sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara khususnya kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan yang merupakan pancang kepada kemakmuran serta keharmonian negara.
Terdahulu, UMNO dilaporkan bakal mengadakan perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hari persidangan mahkamah kes Titah Adendum, Isnin ini di pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya.
Hari ini, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan bahawa kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan itu juga memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.