3 JAN : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melahirkan rasa kesal terhadap jemaah Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail yang bertindak kasar dengan seorang individu yang menceroboh ruangan solat, Rabu lalu.
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan berkata kelakuan kasar jemaah terhadap lelaki bukan Islam yang mempunyai masalah mental itu bukan cara Islam menangani masalah
“Pihak Jawi mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM atas tindakan pantas menahan individu berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Namun, Jawi amat kesal dengan tindakan seorang jemaah yang bertindak kasar kepada individu berkenaan di dalam masjid berkenaan kerana itu bukan cara Islam dalam menangani sesuatu masalah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, rakaman video berdurasi dua minit 46 saat dimuat naik naik di media sosial berkait kejadian itu dan ada jemaah yang dilihat menendang lelaki itu beberapa kali termasuk memukul seorang lagi dipercayai waris lelaki terbabit.
Berdasarkan kenyataan polis, lelaki bukan Islam itu dipercayai mengalami masalah mental sejak April 2022 dan rawatan terakhir pada 16 Januari 2023 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Mengulas lanjut, Hanifuddin berkata pihaknya melalui Bahagian Pengurusan Masjid meminta pihak berkenaan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan masjid agar kejadian sama tidak berulang.