3 JAN : Kementerian Komunikasi menerapkan konsep musyawarah bagi mendapatkan pandangan dan suara di semua peringkat bagi meningkatkan produktiviti.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia seperti apa yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengamalkan pendekatan inklusif dalam perbincangan dan mesyuarat jabatan, selaras dengan semangat musyawarah sebenar.
Katanya, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa diminta untuk meneliti kaedah penerapan konsep berkenaan di kementerian itu.
“Saya nampak pesanan perdana menteri untuk cari cara meningkatkan produktiviti dan bukan hanya bermuhasabah tetapi bermusyawarah mendapatkan pandangan dan suara daripada semua dalam pasukan.
“Ini saya minta di Kementerian Komunikasi, KSU kita teliti apa yang boleh kita lakukan supaya di peringkat unit yang terkecil dalam mana-mana jabatan supaya mutu dan produktiviti boleh diteliti dan ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Live Feed Amanat Perdana Menteri 2025 bersama warga Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Mohamad Fauzi.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pesanan perdana menteri agar perkhidmatan awam terus diperkasakan adalah satu peringatan yang baik.
Katanya, ia sekali gus mengingatkan penjawat awam untuk sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti mereka.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam di bawah kementeriannya agar sentiasa melakukan refleksi selain memikirkan apa yang boleh dilakukan bagi memperbaiki keadaan, mengatasi kelemahan dan kekurangan.
“Ini satu peringatan yang baik bahawa kita jangan sesekali sekadar berasa apa yang kita capai itu memadai.
“Pada masa sama, jangan kita alpa ataupun culas atau lupa untuk berasa syukur atas apa yang kita berjaya lakukan,” katanya.
Anwar menerusi ucapannya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, hari ini berkata penjawat awam di setiap peringkat perlu mengamalkan pendekatan inklusif dalam perbincangan dan mesyuarat jabatan selaras dengan semangat musyawarah yang sebenar.
Beliau berkata semua anggota perkhidmatan awam tanpa mengira pangkat atau kedudukan perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan mereka.
“Setiap jabatan, sekecil mana pun, mesti memastikan setiap anggota terlibat dalam perbincangan.
“Mesyuarat bukan hanya untuk ketua jabatan atau peringkat tertinggi. Ketua unit juga perlu melibatkan anggota di bawah mereka sehingga ke peringkat rendah,” katanya.