UMNO batal himpunan solidariti Najib
3 JAN : UMNO mengambil keputusan untuk membatalkan penganjuran perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Isnin ini.
Mengumumkan perkara itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang awal hari ini mengeluarkan titah kenyataan berkait kuasa prerogatif baginda.
“UMNO dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan titah tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib, bekas Perdana Menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara.
“UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
“Atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara (Tan Sri Razaruddin Husain), UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada 6 Januari 2025 ini,” katanya melalui satu kenyataan, malam ini.
Hari ini, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan bahawa kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan itu juga memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Razaruddin turut membuat kenyataan media hari ini menyeru semua rakyat menghormati titah itu dan tidak menyertai perhimpunan berkenaan.
Sementara itu, Asyraf berkata parti itu menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan baginda dalam memberikan keadilan penuh kepada bekas pemimpinnya itu.
“UMNO juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh ahli UMNO yang sudah pun menyatakan komitmen tinggi untuk memberikan sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini,” katanya.