4 JAN : Masyarakat antarabangsa digesa mengambil tindakan tegas bagi mendesak rejim zionis Israel bertanggungjawab terhadap serangan berterusan dan bersasar ke atas orang awam di Gaza.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan ini bagi memastikan nyawa orang tidak bersalah dapat dilindungi, selain memastikan mereka yang bertanggungjawab atas genosid dan jenayah perang menerima tindakan sewajarnya.
Katanya, Palestin berhak diitiraf sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Keamanan, keadilan dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa mesti ditegakkan.
“Dalam hal ini, perbuatan genosid dan pendudukan haram di Wilayah Palestin yang diduduki mesti dihentikan dan sebuah negara Palestin yang merdeka serta berdaulat diwujudkan, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, kata kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra itu Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan dari rejim Zionis yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa termasuk wanita, kanak-kanak, serta kakitangan perubatan dan media.
Katanya, tindakan menyasarkan hospital secara sengaja seperti serangan terbaru ke atas Hospital Kamal Adwan di mana pesakit dan kakitangan perubatan dipaksa keluar serta menerima layanan tidak berperikemanusiaan juga disifatkan sebagai kejam.
Selain memusnahkan infrasturtur, ia juga jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta resolusi PBB yang berkaitan.
“Serangan udara tanpa henti, pemindahan secara paksa dan penyasaran sistematik terhadap kawasan kediaman serta zon yang diiktiraf selamat merupakan tindakan genosid dan jenayah perang yang nyata.
“Taktik menghalang yang digunakan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga merencatkan kemajuan dalam rundingan gencatan senjata, memburukkan lagi penderitaan rakyat Palestin, dan menggagalkan usaha diplomatik penting untuk mencapai gencatan senjata segera dan kekal,” katanya.