4 JAN: Sebanyak 63,652 kandungan berunsur penipuan diturunkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang 2024.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata jumlah penurunan kandungan itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 6,297 kandungan pada 2023 dan 242 kandungan pada 2022.
Nie Ching berkata meskipun terdapat peningkatan pada angkat tersebut, namun pihaknya percaya masih ada kandungan berunsur penipuan yang belum diturunkan dari media sosial ketika ini.
“Angka 63,652 kandungan adalah besar dan ia berdasarkan aduan yang kami terima, tetapi saya percaya ada banyak lagi di luar sana.
“Jadi, sangat penting untuk kita mendidik masyarakat agar lebih peka dan prihatin, selalu buat semakan dan jika tidak pasti, jangan kongsi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Kampung Angkat MADANI di Dewan Raya FELDA Bukit Permai di Kulai, Johor, hari ini.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata antara penipuan yang dikenal pasti melibatkan kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, menyamar menjadi orang terkenal, video, grafik dan perkataan.
Jelas beliau, terdapat banyak penipuan berbentuk Investment Guru, seperti yang melibatkan Zeti Akhtar yang memaparkan beliau berkongsi pengalaman dan panduan dalam pelaburan.
Katanya, kandungan tersebut bertujuan memperdaya mangsa sehingga terjerumus ke dalam penipuan pelaburan.
“Kita lihat ramai tokoh terkenal telah menjadi mangsa seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, baru-baru ini.
“Sebenarnya itu cara untuk helah orang ramai menyertai kumpulan WhatsApp mereka (penipu) dan akhirnya mereka terkena dan menjadi mangsa dalam penipuan pelaburan kerana angka daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan bahawa penipuan pelaburan ialah scam yang paling besar,” katanya.
Justeru itu, Nie Ching menggesa penyedia platform dalam talian seperti TikTok dan META agar menyemak serta meningkatkan usaha pemantauan bagi memastikan isu penipuan dalam talian melibatkan AI dapat diatasi.
Bagaimanapun, katanya tidak semua kandungan yang dijana AI tidak boleh dipakai, namun pihak bertanggungjawab yang memuat naik kandungan itu perlu memikirkan kaedah terbaik bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh mengakibatkan penipuan dalam talian.
Terdahulu, Nie Ching pada 30 Disember menerusi hantaran Facebooknya dilapor meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penyebaran video palsu ‘deepfake’ berjudul ‘Rahsia Pelaburan Sepanjang Hayat Zeti’ dalam bahasa Mandarin.
Dalam video tersebut, ‘Zeti’ memperkenalkan dirinya sebagai individu yang telah bekerja dalam sektor kewangan selama lebih 40 tahun, membentuk dasar monetari Malaysia dan menyaksikan perubahan ekonomi yang ketara.