4 JAN : Mata wang kripto menjadi kelas aset yang memberikan pulangan paling besar kepada pelabur dengan nilai bitcoin melonjak dua kali ganda sepanjang 2024.
Menurut BIMB Securities Research, emas merekodkan peningkatan kukuh sebanyak 26.2 peratus, menandakan prestasi terbaik sejak 2010.
Selain itu, ia juga menandakan logam berharga itu mendapat manfaat daripada pemintaan pelaburan selamat, selain pemotongan kadar faedah dan pembelian daripada bank pusat.
“Saham global pula menyaksikan kenaikan sebanyak 11 peratus, sedikit rendah berbanding 13 peratus yang dicatatkan 2023, dengan Bursa Malaysia mencatat kenaikan 12.9 peratus menjadi antara pasaran paling cemerlang di Asia Tenggara.
“Komoditi dan bon pula mencatatkan kenaikan sederhana masing-masing 3.2 peratus dan 2.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, BIMB Securities Research memaklumkan National Association of Securities Dealers Automated Quotation (NASDAQ) mendahului indeks utama global pada 2024 dengan pulangan paling tinggi,diikuti rapat oleh Taiwan dan Jepun.
Katanya, prestasi indeks utama dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) memberikan gambaran yang berbeza dan ia akan memberikan perbandingan lebih tepat dengan meneutralkan kesan turun naik kadar pertukaran mata wang asing.
Sementara itu, Bursa Malaysia mencatatkan pulangan positif sebanyak 12.9 peratus dan angka itu berjaya mengatasi purata global.
Kejayaan itu sekali gus menjadikan pasaran saham negara ini antara peserta utama di pasaran yang lebih luas di peringkat global.
“Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyerlah dengan pulangan 15.5 peratus dalam dolar AS, menjadikannya pasaran terbaik di rantau Asia Tenggara, mengatasi Singapura, China, Jepun, India dan Eropah,” katanya.
Selain itu, pasaran saham Thailand, SET dan Indonesia, JCI dan indeks masing-masing mencatatkan pulangan negatif pada tahun lalu.
Katanya, ia susulan Indonesia menghadapi tahun yang mencabar dengan penurunan 8.5 peratus, diikuti Filipina pada 3.5 peratus dan Australia yang mencatatkan penurunan sebanyak 1.4 peratus.
Selepas menjadi pasaran terbaik di rantau Asia pada tahun lalu, BIMB Securities Research menyasarkan pasaran FBM KLCI meningkat sebanyak 1,839 mata pada tahun ini.
Katanya, sasaran itu mewakili kenaikan 12 peratus dari tahun ke tahun.
Selain itu, katanya BIMB Securities Research menyatakan keyakinan Malaysia akan mencatatkan prestasi luar jangkaan terhadap pasaran global pada tahun ini.
“Menuju ke hadapan, Malaysia mempunyai banyak potensi. Permintaan pengguna dijangka kekal kukuh, disokong oleh peningkatan pendapatan boleh guna hasil kenaikan gaji (penjawat awam dan gaji minimum kepada RM1,700), kadar pengangguran yang rendah dan semakin baik, serta tahap hutang isi rumah yang sihat,” katanya.