6 JAN : Kementerian Pengangkutan (MoT) memantau muatan kenderaan berat secara automatik dengan pemasangan Sistem High Speed – Weight in Motion (HS-WIM).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjangkakan sistem automatik itu akan mula beroperasi suku ketiga tahun ini.
Menurutnya, sistem itu merupakan pendekatan baharu kerajaan dalam rangka memantau pergerakan kenderaan berat yang melebihi had muatan di jalan raya secara automatik dan mudah.
“HS-WIM ini menggunakan teknologi kamera, apabila ada kenderaan berat lalu sahaja di sesuatu kawasan, adanya sensor, kita akan tahu sama ada kenderaan itu melebihi had muatan atau tidak dan kenderaan itu akan dirakamkan kamera.
“Jadi, kita akan tahu waktu kenderaan itu lalu di sana jam berapa, berapa berat muatan, jadi kalau kenderaan lebih muatan, kita boleh keluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit.
“Berbanding cara sekarang ini sangat manual. Kita kena tahan lori itu dan bawa ke stesen penimbang, baru kita dapat tahu sama ada ia melebihi had muatan atau tidak,” katanya
Menurutnya, setakat ini, MoT sudah mengenal pasti 10 lokasi di seluruh negara yang akan dipasang sistem HS-WIM itu.
“Pelan induk melibatkan penguatkuasaan melalui HS-WIM akan dibangunkan bertujuan memperbanyak pemasangan sistem ini di tempat hot spot seperti kawasan berisiko tinggi kemalangan dan aliran trafik yang tinggi,” katanya.