6 JAN : Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) dijangka mampu menangani cabaran dalam pengurusan alamat yang tidak seragam khususnya di kawasan luar bandar, kampung tradisional dan kawasan bandar yang padat di seluruh negara.
Sehubungan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta pemain industri geospatial tempatan bagi menjayakan NAS.
Katanya, NAS akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang diiktiraf kerajaan sebagai rujukan utama bagi mengurus lebih 12 juta alamat di seluruh negara.
“Ketiadaan sumber alamat diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama menyebabkan data alamat diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi yang membawa kepada kebergantungan teknologi luar.
“Untuk makluman, dianggarkan lebih RM700 juta dibelanjakan setiap tahun untuk perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara yang menyebabkan ketirisan pendapatan negara serta meningkatkan risiko pengurusan maklumat infrastruktur kritikal negara (NCII) akibat ketiadaan sistem alamat bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dengan Kerajaan Negeri Melaka di Melaka, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Azhar Arshad.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pelaksanaan NAS masih memerlukan kebergantungan kepada kaedah tradisional seperti mengenal pasti alamat berdasarkan warna bumbung rumah, nombor tiang elektrik atau tanda perbatuan.
Katanya, NAS juga dijangka menjadi sistem pengurusan alamat yang bersepadu sekali gus memperkasakan ekonomi digital negara, termasuk sektor seperti e-dagang, logistik, dan pembangunan bandar pintar.
“NAS bukan sekadar projek teknologi tetapi juga asas kepada transformasi perkhidmatan awam, pengukuhan ekonomi digital dan peningkatan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan pembiayaan dana sebanyak RM3.37 juta untuk pembangunan Kampung Digital Melaka (KDM) adalah komitmen penuh kerajaan dalam menyokong usaha transformasi 623 kampung tradisional di negeri itu.
Katanya, KDM yang mula diperkenal Kerajaan Negeri Melaka awal tahun lepas akan dilaksana secara menyeluruh bermula Januari ini.
Katanya, KDM juga akan memodenkan komuniti kampung khususnya dalam mengatasi isu ketiadaan alamat rumah yang jelas dan berstruktur.
“KDM akan menggunakan kod QR untuk memodenkan sistem alamat rumah yang pertama di Malaysia bagi meningkatkan kualiti akses data dan perkhidmatan rakyat.
“Projek ini sudah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan cap dagangan logo, menjadikannya model kampung digital di seluruh negara.
“Kaedah baharu tersebut akan memberi manfaat kepada penduduk kampung dalam aspek pengurusan, penghantaran dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan alamat rumah, manakala kelebihan inisiatif Kampung Digital pula dapat merekodkan jumlah rumah sebenar di Melaka termasuk membabitkan sempadan antara kampung,” katanya.
Justeru itu, Fahmi berkata pihaknya dan MCMC terbuka membantu kerajaan negeri sekali gus merealisasikan visi negara memastikan setiap kediaman mempunyai alamat lengkap dan seragam.
*Foto: Facebook Kementerian Komunikasi