6 JAN : Pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi menangani isu keselamatan kenderaan berat secara menyeluruh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pasukan itu melibatkan pelbagai pihak untuk merangka strategi demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya telah tugaskan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan untuk mempengerusikan pasukan khas ini yang bukan sekadar untuk mengkaji dan menilai apa yang boleh dilaksanakan, tetapi untuk memulakan pelaksanaan segera bagi apa yang boleh dilaksanakan.
“Apa dasar yang boleh dibincangkan dan dilaksanakan dengan segera. Pasukan ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka strategi efektif demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis amanat tahun baharu 2025 di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Loke berkata, elemen keselamatan kritikal termasuk melibatkan tayar dan sistem brek akan ditambah bagi memperkemas prosedur pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Ini bertujuan memastikan semua kenderaan mematuhi spesifikasi keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Kementerian Pengangkutan juga mempertingkat penguatkuasaan bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), kata Loke.
Pada masa sama, Loke berkata sistem kamera Automated Awareness Safety System (AwAS) ditambah baik bagi memantau kelajuan kenderaan secara lebih menyeluruh.
Mengulas lanjut, Loke memaklumkan MoT akan menilai kembali undang-undang seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi memastikan hukuman lebih tegas terhadap kesalahan membawa muatan berlebihan.
“Selain itu, latihan kompetensi kepada pengendali kenderaan berat akan ditingkatkan melalui berdasarkan Kod Amalan Industri (ICOP) Latihan Keselamatan Kod Amalan Industri (ICOP),” katanya.