6 JAN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghadiri ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata ia ekoran perhimpunan itu melanggar undang-undang sedia ada.
“Perhimpunan tersebut juga tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah sekaligus tidak mematuhi syarat-syarat yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana mana individu yang menyertai perhimpunan tersebut kerana melanggar undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada 4 Januari, Aidi Sham dilaporkan berkata PDRM menolak permohonan penganjuran himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ kerana permohonan tersebut tidak lengkap.
Katanya, pihaknya menerima permohonan tersebut pada 31 Disember lalu dan memaklumkan penolakan permohonan itu kepada pihak penganjur pada 3 Januari.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat beberapa sekatan jalan di laluan masuk ke Putrajaya dilakukan pihak polis bermula malam tadi.
Selain itu, katanya pemeriksaan ketat terhadap orang awam yang memasuki pusat pentadbiran itu juga turut dijalankan bagi memastikan tidak ada senjata dan sepanduk yang mengandungi perkataan berunsur hasutan dibawa ke perhimpunan itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan pihaknya mengatur anggota bertugas untuk membuat kawalan lalu lintas di Putrajaya, hari ini.
Katanya, anggota trafik ditempatkan di beberapa lokasi utama sekitar Putrajaya termasuk laluan masuk bagi menjalankan pemantauan selain memastikan kelancaran lalu lintas.
“Penugasan anggota terlibat akan bermula pada tengah malam Ahad sehingga Isnin dan turut dibantu dengan kenderaan trak penunda daripada Perbadanan Putrajaya untuk tindakan melibatkan kenderaan yang menghalang lalu lintas.
“Lencongan dan penutupan jalan akan dibuat sekiranya dilihat ada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahlinya yang masih berhasrat menyertai perhimpunan solidariti itu perlu menanggung risiko sendiri.
Tegas beliau, parti itu masih kekal dengan pendirian untuk tidak meneruskan perhimpunan berkenaan.
“Kalau ada individu yang hadir perhimpunan solidariti, kita serahkan kepada mereka untuk mengambil risiko sendiri.
“Kita harap tidak ada penganjur-penganjur dari mana-mana bahagian atau cawangan (UMNO) yang turut terlibat secara rasmi di perhimpunan tersebut,” katanya selepas merasmikan Kuali Cafe@Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Ahad.
Terdahulu, UMNO dalam kenyataannya pada 3 Januari berkata pihaknya membatalkan penganjuran perhimpunan solidariti tersebut bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mengeluarkan titah kenyataan berkait kuasa prerogatif baginda.
Mahkamah Rayuan bersidang pagi ini bagi mendengar rayuan bekas perdana menteri itu yang dibenar mencabar kewujudan titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.