6 JAN : Beberapa individu terbabit dalam himpunan solidariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini akan dipanggil polis membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Dianggarkan lebih 900 individu yang hadir dan keadaan terkawal tanpa sebarang provokasi,” katanya, lapor Sinar Harian.
Pagi tadi, penyokong Najib termasuk pemimpin UMNO dan PAS kelihatan berkumpul di sekitar mahkamah sebagai tanda solidariti terhadap Najib.
Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung dakwaan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan majoriti 2-1 itu bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.
Polis mula mengawal ketat kawasan sekitar Istana Kehakiman itu dan menutup beberapa jalan bagi memastikan keadaan selamat.
Kawalan Najib ke mahkamah juga diperketatkan dan ketibaan bekas presiden UMNO itu disambut dengan laungan daripada penyokong-penyokongnya.
Semalam, Aidi Sham menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang menyertai perhimpunan itu kerana melanggar undang-undang sedia ada.
Ia susulan pihaknya tidak meluluskan permit perhimpunan itu selepas mendapati permohonan dikemukakan tidak lengkap.