7 JAN : Indonesia secara rasmi menjadi anggota penuh BRICS bermula 6 Januari.
Ia menjadikan Indonesia sebagai negara ke enam yang menganggotai BRICS selepas Brazil, Russia, India dan China dan Afrika Selatan.
Kementerian Luar Brazil dalam kenyataannya pada Isnin berkata penyertaan Indonesia dalam BRICS menyerlahkan peranan gabungan itu dalam mencorak kerjasama ekonomi global.
“Sebagai sebahagian daripada tempoh jawatan Pengerusi BRICS oleh Brazil yang bermula pada 1 Januari dan akan berakhir pada 31 Disember 2025, Kerajaan Brazil pada hari ini, 6 Januari, secara rasmi mengumumkan penerimaan Republik Indonesia sebagai anggota penuh BRICS,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penyertaan Indonesia dalam gabungan itu tepaksa ditangguhkan susulan pilihan raya yang diadakan di negara itu pada 2024.
Bagaimanapun, hasrat Indonesia untuk meyertai BRICS diluluskan secara konsesus selepas Presiden Prabowo Subianto memegang jawatan sejak Oktober lalu.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Brazil berkata penyertaan Indonesia dalam BRICS juga mencerminkan komitmen bersama untuk mereformasikan tadbir urus global dan memperkukuh kerjasama di negara-negara Selatan Global.
“Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira AS$1.4 trilion, populasi melebihi 280 juta dan pertumbuhan ekonomi tahunan melebihi 5 peratus sepanjang dekad lalu, Indonesia merupakan salah satu ekonomi paling pesat berkembang di dunia.
“Kemasukan Indonesia mencerminkan komitmen bersama untuk mereformasikan tadbir urus global dan memperkukuh kerjasama di negara-negara Selatan Global,” katanya.
Selain itu, China menyifatkan penyertaan Indonesia sebagai langkah positif untuk BRICS dan Selatan Global.
Ditubuhkan pada 2009,BRICS kini mewakili hampir separuh populasi dunia dan lebih 41 peratus daripada KDNK global dengan meletakkan dirinya sebagai penyeimbang kepada institusi yang dipelopori barat terutama Amerika Syarikat.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini memberi amaran untuk mengenakan tarif 100 peratus jika BRICS membangunkan mata wang pesaing kepada dolar AS.
BRICS mula mengembangkan keahlian dengan penyertaan Arab Saudi, Iran, Ethiopia, Mesir, Argentina dan Emiriah Arab Bersatu dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan lebih daripada 40 negara menyatakan minat.