7 JAN : Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura (MSEVP) yang dicadangkan tahun lalu ketika lawatan pertama Perdana Menteri Lawrence Wong ke Malaysia akan bermula pertengahan tahun ini.
Program yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia itu dimulakan dengan projek perintis.
Pertukaran Surat Niat berlangsung hari ini antara Yayasan Antarabangsa Singapura diwakili Menteri Pendidikan Singapura, Chan Chun Sing dengan Yayasan Guru Tun Hussein Onn diwakili menteri Pendidikan Malaysia, Fadhline Sidek.
Pertukaran itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lawrence Wong di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Pada sidang media bersama Anwar, Wong berkata pertukaran itu antara usaha memperkasa kerjasama bilateral yang dapat memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.
“Kami sedang melabur dalam masa depan bersama. Anda sudah menyaksikan pelbagai perjanjian yang baru sahaja kami tukar, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pendidikan Tinggi, serta pertukaran guru bahasa Inggeris melalui Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura.
“Program ini sudah dibincangkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan saya ketika lawatan pengenalan saya tahun lalu,” katanya.
Jun tahun lalu, Malaysia dan Singapura berbincang tentang kemungkinan republik itu menghantar tenaga pengajar bagi subjek Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain.
Anwar menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa itu terutama di kawasan pedalaman.
*Foto: Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia