Anwar tetap pertahan kebebasan kehakiman: Tengku Maimun
8 JAN : Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus mempertahankan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang negara.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan keyakinan itu selepas mengimbau semula bagaimana Anwar yang ketika itu adalah ketua pembangkang membuat bantahan terhadap Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) di Dewan Rakyat pada tahun 2009.
“Sejak 1988, baru kini kita berada di jalan pemulihan dari segi persepsi terhadap kebebasan.
“Kebetulan pula, 15 tahun yang lalu, sebelum Akta 695 dikuat kuasa, pemimpin pembangkang ketika itu membuat kenyataan seperti yang tercatat dalam hansard mengenai pelantikan hakim dan kebebasan kehakiman.
“Saya yakin, sebagai Perdana Menteri, Anwar (Ketua Pembangkang ketika itu) dan kerajaannya kini akan tetap berpegang kepada kenyataan itu dengan terus komited tanpa ragu-ragu untuk menegakkan perjuangan kebebasan kehakiman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Tun Maimun berkata hanya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Perdana Menteri berhak mencadangkan calon untuk pelantikan ke semua jawatan hakim di mahkamah atasan.
Tegas beliau, tidak ada pihak lain yang berhak mencadangkan nama kepada perdana menteri untuk pelantikan jawatan itu.
Katanya, perkara itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan hakim, yang dibaca bersama prosedur tambahan dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695.
“Sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada peruntukan terbabit boleh menyebabkan pelantikan hakim berkenaan menjadi tidak sah dari segi Perlembagaan atau melanggar undang-undang.
“Justeru, tiada individu, sama ada Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, mana-mana peguam atau peguamcara, parti politik,peguam negara atau mana-mana individu lain yang berhak mencadangkan nama kepada perdana menteri untuk pelantikan,” katanya.
Beliau menambah sekiranya ia berlaku, campur tangan tersebut akan mengganggu keadilan dengan mempengaruhi perjalanan kehakiman.
Katanya, individu yang didapati melakukan perbuatan itu juga boleh didakwa.
“Sebarang nama yang dipertimbang berdasarkan nasihat yang tidak wajar seumpama itu, berisiko dicabar melalui semakan kehakiman kerana dianggap tidak sah dari segi Perlembagaan atau melanggar undang-undang.
“Mana-mana individu yang campur tangan atau cuba campur tangan dalam fungsi bebas JAC, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Mengulas mengenai persaraannya pada tahun ini, Tengku Maimun berkata pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi sejak menjawat jawatan itu pada 2019.
Katanya,selain pernah diketepikan dalam mendengar prosiding mahkamah, beliau juga difitnah dan dilabel sebagai musuh Islam dan tidak islamik.
Namun, Tengku Maimun berkata beliau tetap menjalankan tugas dengan komited dan tidak akan sesekali tunduk dengan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya dikritik, difitnah, dilabel sebagai tidak Islam atau musuh Islam dan suami saya secara tidak adil digunakan terhadap saya dalam beberapa permohonan bukan saja untuk meminta saya diketepikan bagi mengadili perbicaraan tetapi secara lebih umum untuk memalukan saya dan rakan saya.
“Tiada satu pun daripada mereka yang akan atau pernah dapat menembusi ujian hati nurani saya dan segala puji bagi Allah, saya tidak pernah bimbang disebabkan komen-komen ini,” katanya.
Terdahulu, Tengku Maimun berarak masuk ke majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025, hari ini.
Majlis anjuran Badan Kehakiman Malaysia itu turut dihadiri delegasi Jabatan Peguam Negara (AGC) diketuai Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar serta pegawai-pegawai kanannya.