8 JAN : Malaysia mengenakan duit anti lambakan sementara ke atas import produk Polyethylene Terephthalate (PET) yang dieksport dari China dan Indonesia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata duti dikenakan antara 6.33 peratus hingga 37.44 peratus seperti diperuntukkan dalam Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balik dan Anti-Lambakan 1993.
“Kerajaan mendapati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan penyiasatan terhadap pengimportan dagangan subjek dari China dan Indonesia.
“Oleh yang demikian, kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti anti lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal,” kata MITI dalam satu kenyataan.
Laman web eartheasy menyebut PET adalah plastik yang selalu digunakan dalam industri minuman berbungkus seperti air mineral, jus dan minyak di mana plastik jenis ini tidak disyor untuk diguna semula.
Mengulas lanjut, MITI berkata tindakan itu bertujuan mengelakkan kecederaan material lanjut kepada industri tempatan.
“Duti ini akan berkuat kuasa selama tempoh tidak melebihi 120 hari, bermula 7 Januari,” kata MITI.
Kata MITI lagi, penyiasatan duti anti lambakan import PET yang berasal atau dieksport dari negara tersebut dimulakan pada 9 Ogos 2024 berikutan petisyen oleh Recron (M) Sdn Bhd bagi pihak industri tempatan.
Pempetisyen mendakwa import PET daripada kedua-dua negara itu dijual ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan Malaysia.
Mana-mana pihak berkepentingan dialu-alukan mengemukakan ulasan terhadap laporan penentuan awal ini kepada MITI sebelum 17 Januari jam 5.30 petang.
Versi tidak sulit laporan mengenai penentuan awal itu boleh didapati dengan mengemukakan permintaan bertulis kepada kementerian.
Sementara itu MITI menjangkakan penentuan muktamad akan dibuat selewat-lewatnya pada 6 Mei 2025.