9 JAN : Keputusan melanjutkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dipersetujui 87 peratus individu berusia 16 tahun hingga 60 tahun, hasil tinjauan awam.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata tinjauan dibuat Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) itu melibatkan 3,092 responden termasuk ibu bapa.
Katanya, kerajaan mahu PLKN 3.0 yang akan itu mampu membina jati diri dan memupuk sifat kepimpinan golongan muda di Malaysia.
“Kita mahu hubungkan yang tiada dalam (silibus) pendidikan kita bagaimana anak-anak didedahkan dengan ilmu untuk nak jadi seorang pemimpin.
“Jadi kita harap dengan PLKN ini, mereka secara fizikal boleh memahami dan belajar di kem sendiri bagaimana sifat itu boleh dipupuk,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Ibu Pejabat FOZ One di Kulai, hari ini.
Menurut Johari, PLKN 3.0 akan menerapkan 70 peratus asas ketenteraan dan 30 peratus kenegaraan dapat membantu meningkatkan kemahiran dan kemampuan diri termasuk dari segi komunikasi dan berfikir.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata PLKN 3.0 akan dimulakan dengan latihan percubaan membabitkan 200 peserta terdiri daripada 148 lelaki dan 52 perempuan bermula 12 Januari hingga 25 Februari ini.
Dalam perkembangan lain, Johari mengharapkan Parlimen Belia dapat melahirkan bakal-bakal wakil rakyat yang berketrampilan pada masa depan.
“Saya diberikan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak kita, bagaimana kita dapat melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang lebih terdedah dengan sistem yang lebih baik dan tidak lagi macam sekarang ini, kita tengok dalam Parlimen banyak orang main politik daripada cakap hal-hal rakyat.
“Jadi dengan pendedahan dalam Parlimen Belia, kita harapkan tahun ini bermulanya satu sistem baru, saya rombak balik keseluruhan sistem pemilihan dan mengharapkan kita dapat melahirkan anak-anak muda yang lebih berketrampilan untuk menjadi ahli Parlimen masa hadapan,” katanya.