9 JAN: Kerajaan akan menentukan penerima subsidi RON95 berdasarkan konsep pendapatan boleh guna bersih.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata konsep yang menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20 itu masih dalam pertimbangan kerajaan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, peralihan tersebut masih dalam proses dalaman dan ia antara inisiatif kerajaan bagi melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95.
“Dari sudut pandangan asas dan perspektif Kementerian Ekonomi seawal 2023, kami mencadangkan kepada kerajaan untuk mengubah pengelasan B40, M40 dan T20. Justeru, keputusan rasmi perlu dibuat.
“Ini kerana sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), kita telah guna pengelasan ini. Jika kita dapat memuktamadkan persetujuan kerajaan untuk mengubahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Forum Ekonomi Malaysia 2025 (FEM) di ibu negara, hari ini.
Rafizi berkata langkah seterusnya iaitu mengenal pasti penerima yang dibentuk daripada 85 peratus isi rumah yang layak menerima subsidi RON95 akan dilakukan selepas peralihan konsep tersebut dimuktamadkan.
Katanya, kerajaan akan mengumumkan kelayakan penerima subsidi RON95 serta pendekatan mekanisme yang akan digunakan bagi pelaksanaannya.
Bagaimanapun, katanya pengumuman-pengumuman tersebut perlu dibuat secara progresif memandangkan masih berbaki beberapa bulan sebelum pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dilakukan.
“Namun, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan (MoF) perlu membawanya ke Kabinet untuk kelulusan.
“Apabila mendapat lampu hijau Kabinet, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memaklumkan kepada umum secepat mungkin,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata Malaysia perlu mengambil pendekatan global dalam membentuk polisi bagi memastikan negara kekal relevan di peringkat antarabangsa.
Katanya, Asia Tenggara dan Malaysia sendiri perlu mengiktiraf keunikan yang dimiliki negara ini bagi menetukan hala tuju negara.
Sehubungan itu, katanya situasi tersebut menuntut pemikiran serta tindakan yang lebih berhati-hati dari semua pihak.
“Khususnya, negara-negara di Asia Tenggara akan memainkan peranan penting kerana profil, pendekatan, dan visi rantau ini bertentangan dengan arus global yang kini bergerak ke arah yang berlawanan.
“Asia Tenggara memiliki kelebihan unik dari segi demografi dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjadikan rantau ini sebagai kuasa pengguna utama.
“Populasi kelas pertengahan Asia Tenggara dijangka meningkat dan menjadikan rantau ini lebih besar daripada populasi Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dalam tempoh lima tahun,” katanya.