9 JAN : Orang ramai kini boleh mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah melalui Kiosk Sentuhan MADANI.
Pelbagai perkhidmatan kerajaan dihimpunkan menerusi kiosk digital itu yang ditempatkan di kawasan tumpuan orang awam termasuk di pusat beli-belah yang boleh diakses bila-bila masa termasuk di luar waktu pejabat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berharap pada masa akan datang lebih banyak syarikat korporat tampil membantu menjayakan inisiatif kerajaan itu bagi memudahkan rakyat.
“Saya difahamkan kosnya tidak terlalu tinggi dengan kerjasama beberapa pihak, Kita pasti lokasi seperti pusat beli-belah dan tempat orang ramai memang sesuai,” katanya.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, kiosk kedua akan dipasang di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur penghujung Februari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Kiosk Sentuhan MADANI fasa pertama itu hari ini yang dikendalikan Unit Pantau MADANI dengan pembabitan pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta di Alamanda, Putrajaya.
Sebanyak enam kiosk dilancarkan yang menawarkan lebih 90 jenis perkhidmatan melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MyDigital ID (MIMOS), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP), Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam satu kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kiosk itu menggunakan pendekatan ‘whole-of-nation’ yang direalisasikan sepenuhnya melalui sinergi jabatan dan agensi.
“Ia secara tidak langsung mencerminkan komitmen tinggi sektor awam dan korporat dalam memastikan kejayaan inisiatif ini,” katanya.