Malaysia perlu sedia teroka bidang baharu, elak ketinggalan
9 JAN : Malaysia perlu sedia meneroka bidang-bidang baharu supaya tidak ketinggalan berbanding negara-negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jentera kerajaan perlu mencari jalan untuk mengangkat kekuatan ekonomi negara.
“Sebab itu Forum ekonomi seperti ini beri ruang kepada kita seperti mana saya sering tekankan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan jentera kita supaya fokus kita itu mencari helah dan jalan untuk mengangkat kekuatan ekonomi.
“Saya sebut hal-hal yang agak baru untuk diterokai kerana kalau kita tidak sedia teroka bidang baharu kita akan ketinggalan.
“Kita harus bina kekuatan yang menyeluruh supaya kekuatan ini dapat membantu kita mengangkat semula (ekonomi),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025, hari ini.
Pada masa sama, Anwar melahirkan hasrat Malaysia untuk memanfaatkan kelebihan kedudukan geografi strategiknya sebagai hab utama dalam sektor elektrik, bakat dan kepelbagaian rantaian bekalan.
“Kita berpotensi menjadi peneraju pasaran global dalam setiap bidang ini. Pendekatan berkecuali dan keterbukaan terhadap perkongsian menjadikan Malaysia pilihan ideal sebagai hab ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kepengerusian ASEAN tahun ini bukan hanya satu kesempatan untuk membina kekuatan bersama rangkaian ASEAN tetapi juga untuk memanfaatkan negara kita bersama yang lain.
“Ini yang kita tekankan bersama Perdana Menteri Singapura (Lawrence Wong), ia tidak lagi menganggap kekuatan di Malaysia sementara yang lainnya pinggiran atau kekuatan di Singapura yang lainnya pinggiran atau kekuatan di Thailand yang lainnya di pinggiran.
“Kita cari jalan penyelesaian termasuk isu-isu yang merumitkan kita termasuk Mynamnar. Kerana prasyarat untuk untuk mengangkat kekuatan ekonomi juga keamanan, kestabilan politik, dasar yang jelas. Dasar ekonomi jelas yang dapat memangkin kekuatan melalui penglibatan sektor swasta dan kecekapan sektor awam,” katanya.
Tegasnya, Malaysia tidak boleh berlengah lagi dengan berbicara hal remeh yang hanya akan melemahkan dan mengancam kekuatan negara.
“Kalau kita mahu angkat martabat ekonomi dan negara kita. Kita tidak boleh berlengah lagi. Tidak boleh terbawa-bawa berbicara hal remeh yang hanya melemahkan dan mengancam kekuatan kita.
“Ini peluang terbaik negara kita untuk uruskan ekonomi dengan baik, tingkatkan usaha, jalinkan kerjasama dan fokus dalam kerja masing-masing.
“Dengan wacana yang segar, kesediaan membawa perubahan dan penyesuaian, mengaku kelemahan kita termasuk dalam kerajaan tapi untuk membawa kebaikan untuk semua,” katanya.
*OLEH : NUR EISYA