9 JAN : Kerajaan menegaskan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkait kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan didedahkan kepada umum seperti yang dituntut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga ahli Lembaga Pengampunan, Dr Zaliha Mustafa berkata dokumen itu sulit dan hak Lembaga Pengampunan sahaja.
“Minit mesyuarat adalah perkara sulit. Kita tak boleh buat perkara itu open. Itu hak Lembaga Pengampunan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mengesyorkan agar kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat itu kepada umum bagi menghentikan spekulasi berkait kewujudan titah adendum.
Katanya, dengan cara itu dapat memastikan ketelusan dan menghalang sebarang manipulasi proses untuk kepentingan politik pihak tertentu.
Isu pengampunan Najib menjadi polemik dengan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap kerajaan termasuk kononnya kerajaan menyembunyikan titah adendum yang membenarkan bekas Presiden UMNO itu menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah.
Isnin lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung dakwaan kewujudan titah adendum itu.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membacakan Titah Adendum yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas prosiding itu berlangsung.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.