9 JAN : Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) autisme atau Tabika Berkeperluan Khas akan diperluas ke seluruh negara.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan memperluaskan Tabika itu bagi memastikan kanak-kanak yang memerlukan perhatian khas mendapat pendidikan inklusif di negara ini.
Jelas beliau, ia juga bagi menyokong agenda negara dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera.
“Kementerian menerusi KEMAS bakal memulakan usaha mewujudkan Tabika Autisme pertama di Malaysia yang akan mula beroperasi di Melaka.
“Dalam kita melaksanakan Tabika Autisme, saya harap ada peruntukan agar ini dapat diperluaskan ke seluruh negara,” katanya ketika berucap pada program Pemerkasaan Masyarakat MADANI KEMAS, di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan beberapa inisiatif kepada KEMAS dalam memastikan jabatan itu memberi perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan Tabika Autisme pertama di Malaysia bakal dibuka dan dimulakan di Melaka pada tahun ini dengan memberi keutamaan kepada golongan B40 di setiap daerah.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata latihan khas termasuk Kursus Dalam Cuti (KDC) perlu diberikan kepada guru Tabika bagi memastikan pelajar autistik menerima pendidikan sebaiknya.
Katanya, tanggungjawab ini perlu dipikul semua pihak dalam membentuk generasi akan datang.
“Kita perlu sama-sama memikul tanggungjawab yang besar. Kita memegang amanah untuk membentuk sebuah tamadun bangsa.
“Setiap usaha kecil kita akhirnya akan menjadi benih kejayaan untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mencadangkan pelaksanaan ‘Bootcamp Literasi Digital’ melalui kerjasama dengan syarikat teknologi untuk melengkapkan belia luar bandar dengan kemahiran digital.
Beliau juga mencadangkan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mempertingkat ekonomi dan keusahawanan warga desa.
“Dengan komitmen, dedikasi dan semangat yang tinggi daripada seluruh kakitangan KEMAS dan KKDW, agensi ini akan terus mencipta kejayaan demi kemakmuran negara.
“Selain itu, ia juga membentuk tamadun bangsa yang cemerlang, bukan hanya untuk kesejahteraan hari ini tetapi juga untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
*OLEH : AISYAH BADRUL