9 JAN : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi subjek Sejarah bocor.
KPM dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.
Menurut kementerian itu, siasatan terperinci sudah dijalankan dan mendapati tiada mana-mana soalan peperiksaan sebenar yang tersebar.
Siasatan dijalankan termasuk melibatkan semua sebaran dan tangkap layar berkaitan yang tular di media sosial
“Tangkap layar yang tular hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.
“Tiada sebarang soalan dalam kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan.
“Justeru, dakwaan ini tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan, KPM,” menurut KPM.
Dalam pada itu, KPM menasihati semua calon peperiksaan untuk kekal tenang dan fokus bagi menghadapi peperiksaan itu.
Tegas KPM, pihaknya memandang serius terhadap dakwaan kebocoran itu.
Tambahnya, KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam terpelihara selain menjaga kepentingan dan keadilan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024.