10 JAN : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneliti semula permohonan pendaftaran dua Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) yang menyebabkan kematian dan kecederaan bayi, baru-baru ini.
Menterinya, Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata kelulusan tidak boleh sewenang-wenangnya diberi lebih-lebih lagi dalam keadaan taska di Selangor dan Sarawak itu dalam siasatan polis.
“Ia melibatkan seorang kanak-kanak yang telah meninggal dunia (di Selangor). Ada perkara lain juga yang membuat kita sedikit berhati-hati untuk meluluskan.
“Jadi perlu pertimbangan yang teliti kerana kalau kita meluluskan begitu sahaja, ianya boleh melibatkan keselamatan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Plak Taska Berdaftar di Taska Seri Kandi, Jabatan Audit Negara di Putrajaya, hari ini.
Kedua-dua taska terbabit tidak berdaftar dan dalam proses memohon lesen.
Semalam, seorang bayi lelaki berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia di sebuah taska di Bandar Saujana Putra, Selangor, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata seorang doktor membuat laporan mengenai seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dibawa pengasuh taska ke klinik terbabit.
Sementara itu, di Batu Kawa, Kuching, Sarawak dilaporkan seorang bayi berusia lapan bulan mempunyai kesan gigitan pada bahagian belakang badan.
Dalam padaitu, KPWKM mengambil inisiatif baharu untuk tahun ini dengan mewujudkan Plak Taska Berdaftar bagi memastikan masyarakat dapat mengetahui sama ada sesebuah Taska itu berdaftar atau tidak dengan pantas.
Semua taska berdaftar diwajibkan mempamerkan Plak Taska Berdaftar ini di tempat yang mudah dilihat di luar premis masing-masing.
Ini bagi memastikan ibu bapa atau masyarakat dapat melihat dengan jelas kewujudan plak tersebut.
Setakat ini sebanyak 3,198 buah taska berdaftar akan terlibat dalam inisiatif pemasangan plak berkenaan.
*Foto: Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM