10 JAN : Tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM).
BHEUU, JPM yang bertindak sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan membuat pengesahan itu hari ini dalam satu kenyataan dua muka surat di tengah-tengah polemik kewujudan titah adendum berkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut BHEUU, JPM pihaknya juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung titah tambahan itu.
“Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang diadakan pada 29 Januari 2024 dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempertimbangkan permohonan pengampunan yang dikemukakan Najib.
“BHEUU, JPM mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi di bawah BHEUU, JPM dan tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara ini,” kata kenyataan itu.
Isnin lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dam mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun 2024.
Titah tambahan itu didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
Dalam kenyataan sama, BHEUU, JPM turut memaklumkan prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (Akta 88).
“Semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga Pengampunan.
“Tiada mana-mana pihak lain tanpa mengira kedudukan atau jawatan mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut sejajar prinsip kerahsian dan integriti,” katanya.
Tambahnya, BHEUU, JPM juga tidak berurusan dengan Menteri di JPM (Undang-undang dan Reformasi Instirusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan kecuali kepada Agong sebagaimana diperuntuk dalam Perlembagaan.
“Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahu pun terlibat dalam apa-apa urusan pentadbiran dan pengurannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan,” katanya.
Tegas BHEUU, JPM lagi, sebarang kenyataan mengelirukan boleh dikenakan tindakan sewajarnya.
“BHEUU, JPM menegaskan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, BHEUU, JPM berkata pihaknya akan terus melaksanakan segala urusan berkait Lembaga Pengampunan selaras undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.