JENDELA fasa 1 Pahang dijangka operasi sepenuhnya April
10 JAN : Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu di Pahang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata setakat ini 144 daripada 191 menara telekomunikasi yang siap dibina itu sudah beroperasi sepenuhnya.
Katnaya, hanya berbaki 47 menara telekomunikasi yang dijangka beroperasi secara berperingkat.
“Saya dah maklumkan kepada pihak berkaitan semua menara harus siap dengan akses komunikasi selewat-lewatnya suku pertama tahun ini.
“Maknanya 1 April ini semua menara dah beroperasi sepenuhnya, sekiranya ada masalah kelewatan saya minta buat inisiatif secara interim,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Pembinaan 45 Menara Telekomunikasi Baharu bagi projek JENDELA Fasa Satu oleh Kumpulan EDOTCO di Sungai Pandan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan struktur stesen pemancar 5G yang seimbang di semua daerah di negeri itu khususnya di Raub, Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran dan Bera.
Katanya ia bagi memastikan masyarakat menikmati akses Internet yang baik dan memperkukuh keyakinan pelabur.
“Kalau dalam industri perkilangan 5G bantu mempercepat urusan dan pekerjaan, jadi saya dah nyatakan hasrat kepada DNB (Digital Nasional Berhad) agar lihat secara terperinci taburan pembinaan struktur pemancar 5G, khususnya di Raub, Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran dan Bera.
“Enam daerah ini kurang berbanding yang lain…kita tak mahu ada daerah yang tertinggal terutamanya dalam capaian telekomunikasi kerana ini keperluan semua orang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sedang menanti kemas kini daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkait JENDELA fasa dua di Pahang.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata JENDELA fasa kedua dijangka akan dimulakan tahun ini.