10 JAN : Tindakan Perikatan Nasional (PN) yang berterusan memburukkan imej Kerajaan Perpaduan dalam isu titah adendum dilihat hanya demi mencapai cita-cita politik murahan.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata pembangkang khususnya PAS sengaja menggembar-gemburkan isu adendum untuk memburukkan Kerajaan Perpaduan selepas pelbagai usaha menjatuhkan kerajaan sebelum ini gagal.
Katanya, tindakan pembangkang yang berterusan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan adalah tidak munasabah.
“PAS jangan cuba mengelirukan rakyat dengan membuat desakan seolah-olah Anwar yang bersalah dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedangkan alasan adendum tersebut bukan sesuatu yang bernas.
“Tiada keperluan perdana menteri meletakkan jawatan hanya menerusi desakan pembangkang yang tiada asas malah Anwar diperlukan untuk terus memimpin negara susulan prestasinya yang cemerlang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata ternyata apa yang diperjuangkan PAS ketika ini hanya wayang dan sandiwara.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan PAS yang tidak mencadangkan pengampunan diraja terhadap Najib sewaktu menjadi sebahagian daripada kerajaan dahulu.
“Jika disemak semula, kes penangkapan Najib berlangsung ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan waktu itu.
“Timbul pula persoalan mengapa tidak ada agenda PAS untuk memberi cadangan pengampunan diraja terhadap Najib ketika itu, mengapa ia dihebohkan ketika ini,” katanya.
Isu pengampunan Najib menjadi polemik dengan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap kerajaan termasuk kononnya kerajaan menyembunyikan titah adendum yang membenarkan bekas Presiden UMNO itu menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah.
Pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung dakwaan kewujudan titah adendum itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah untuk Najib menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah.
Katanya, kementeriannya dan Jabatan Penjara hanya menerima arahan bagi mengurangkan tempoh pemenjaraan dan denda bekas perdana menteri itu menerusi surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) yang merupakan sekretariat kepada Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Beliau memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.