10 JAN : Individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kononnya berlaku kebocoran kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi subjek Sejarah mungkin berdepan tindakan undang-undang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu terlibat untuk tindakan selanjutnya.
“Saya nak ingatkan pihak yang menyebarkan maklumat palsu ini bahawa anda sedang dipantau oleh kementerian dan pihak terlibat.
“Sekiranya perkara ini terbukti, maka anda perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Tahun Baharu Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Sam Tet di Ipoh, hari ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan kertas peperiksaan SPM 2024 bagi subjek Sejarah bocor dan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.
Menurut kementerian itu, siasatan terperinci sudah dijalankan dan mendapati tiada mana-mana soalan peperiksaan sebenar yang tersebar.
Siasatan dijalankan termasuk melibatkan semua sebaran dan tangkap layar berkaitan yang tular di media sosial
Menurut KPM, dakwaan itu tidak menepati definisi kebocoran mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan Malaysia.